Followers

Sunday, December 13, 2009

Menyimpul Talian Ukhuwah 1

Bertemu semula dengan kawan lama sesuatu yang sangat menggembirakan dan bermakna bagi percutian kali ini. Perjalanan ke Utara pada 4 Disember sangat bermakna walaupun hampir dibatalkan disebabkan keuzuran bapa mertua saya pada pagi itu. Namun setelah agak pulih sebelah petangnya, kami teruskan perjalanan sebagaimana dirancang.

Matlamat kami pada malam itu untuk menginap di Sungai Petani, namun bercadang ke Batu Kurau terlebih dahulu untuk bertemu dengan kawan lama isteri saya sewaktu menuntut di Ehya' Al-Syariff, Gunung Semanggol. Ketika ini dia bertugas di Sekolah Menengah Agama Shubaniah, Batu Kurau. Ketika di situ baru saya teringat saya juga punya kawan Ustaz Shahibol yang tinggal di Batu Kurau. Shahibol ni kawan lama sewaktu saya tinggal di Batu Gajah. Beliau dan abangnya Cikgu Zul serta saya dan abang saya Allahyarham Cikgu Jaafar sama-sama menubuhkan pusat tuisyen di Batu Gajah. Pusat kamilah yang pertama di Batu Gajah yang ketika itu umpama pekan koboi.

Kami bertemu di sebuah restoran di pekan itu, setelah berbual panjang saya dimaklumkan Cikgu Zul pun telah beberapa tahun pulang ke Batu Kurau. Apa lagi saya terus hubungi beliau dan dia terus dapatkan kami walaupun hampir Maghrib.

Beliau berkeras mengajak kami ke rumahnya dan tak membenarkan kami teruskan perjalanan pada waktu Maghrib. Saya pun masih ingin berbual lagi, jadi kami singgah juga sebentar di rumahnya. Bayangkan kami tidak pernah berjumpa sejak anaknya yang sulung berumur 1 tahun sehingga kini anaknya itu sudah berumur 19 tahun dan menuntut di UITM, Arau.

Pertemuan itu sangat bermakna kerana saya berpeluang bertemu dengan mentor saya iaitu orang yang banyak membantu membina karier saya dalam bidang pendidikan. Perjalanan ke Sungai Petani malam itu dengan 'mood' yang baik bakal menjadi permulaan kepada perjalanan lebih bermakna. Dalam hati saya panjatkan kesyukuran kepada Allah.

Wednesday, December 2, 2009

Emmm... Manisnya

Amat bertuah kali ini musim buah-buahan di kampung ketika cuti persekolahan. Dapatlah saya berpeluang menikmati sepuas-puasnya setelah lama menanti saat dan kesempatan yang sebegini. Pastinya buah durianlah yang menjadi sasaran utama, lainnya duku, langsat dan rambutan turut menjadi mangsa ratahan ganas tanpa belas kasihan. Sayangnya buah manggis sahaja yang kurang menarik sebabnya tak sanggup nak panjat pokoknya yang terlalu tinggi. Tambahan dalam usia sebegini sangat perlu menjaga tulang dan urat saraf.
Walau apapun yang pentingnya semuanya percuma. Percuma!? Macam tak percaya... kan?

Sebenarnya itulah yang menarik kehidupan di kampung. Dalam beberapa hari berada di kampung ada sahaja yang menghantar buah-buah ke rumah. Ada yang beri durian, duku, langsat, rambutan dan ada juga yang beri petai. Itulah kebiasaan dan kelaziman masyarakat di kampung ini ketika musim buah. Sebab itu Allah sentiasa melimpahkan rezeki kepada masyarakat Bukit Gantang ini.


Ini membuatkan saya terfikir perbandingan masyarakat di sini dan di kota. Pekerjaan masyarakat di sini sekadar kerja-kerja kampung yang pendapatannya boleh dikatakan di bawah paras miskin. Namun mereka tidak susah di sini kerana kehidupan mereka bukan semestinya bergantung kepada banyaknya jumlah wang yang dihasilkan. Perlukah wang jika dusun atau kebun mereka menghasilkan keperluan dapur? Kalau tiada pun, dusun atau kebun jiran masih ada... minta sahaja.


Kita yang hidup di kota tiada budaya begitu. Kita melihat wang penting dalam setiap perkara kehidupan. Malah kita menilai kebaikan manusia daripada sudut wang. Maksud saya kita lebih suka dan tertarik jika seseorang itu menampil diri dengan segala kemewahan tanpa mempedulikan soal akhlak dan moralnya. Wah, makin serius topik ni! Sorry dah melalut sepatutnya tulis pasal buah.

Berbalik pasal buah di kampung ni, saya sedikit rasa sedih. La sedih pulak! sepanjang perjalanan dari Changkat Jering melalui Trong hingga ke Kampung Tebok sampai ke Sungai Kerang saya sedih melihat buah-buah rambutan yang hampir masak ranum penuh bergayutan. Begitu juga sepanjang perjalanan ke Kuala Kangsar, seolah-olah rezeki yang dikurniakan Allah dipersiakan. Mungkin buah-buah di sini sudah tiada harga agaknya fikir saya. Ketika di Kuala Kangsar saya bertanyakan harga rambutan. Nak tahu harganya? RM2 sekilogram! Bermakna rambutan masih punya harga.
Agaknya apakah idea yang sewajarnya dilakukan masyarakat di sini supaya rezeki pemberian Allah ini tidak dibazirkan sebegini rupa.

Tuesday, November 3, 2009

Lawatan Ke Rumah Warga Tua


















Main Masak-Masak










"Kami pandai menghias sahaja."











Hiasan meja yang sederhana
Ada aku kisah!











Layanan paling mesra




Sabar menanti hidangan

Iron Chef Zaman




Gadis= shoping + posing!

Tuesday, October 6, 2009

Selamat Menduduki Peperiksaan PMR


Pada 7 Oktober 2009, pelajar kesayangan menduduki PMR. Satu peperiksaan yang sangat penting bagi mereka dalam menentukan arah tuju yang bakal menentukan kerjaya masa depan mereka. Peperiksaan yang bakal menguji pelajar tahap pencapaian menengah rendah mereka bagi tempoh selama 3 tahun.

Debaran dan kebimbangan sudah tentu sentiasa menggangu kehidupan mereka buat masa ini. Tambahan pula mereka bukan sahaja membawa harapan sendiri tetapi mereka turut memikul impian dan hasrat ibu bapa dan guru-guru. Pada saat ini merupakan detik-detik sukar bagi mereka jika tanpa sokongan ibu bapa, guru-guru dan sahabat.

Mengimbas kembali pesanan saya ketika awal tahun ini, saya menganggap peperiksaan umpama satu peperangan. Sesiapa yang memperkecil-kecilkan kemampuan dan kekuatan musuhnya serta mengabaikan persiapan diri, dia bakal menghadapi peperangan yang amat sukar.

Namun itu semua sudah berlalu. Peperiksaan sudah di ambang mata. Anda sudah tidak mempunyai masa untuk mengelak. Gantungkan harapan kamu kepada pertolongan Allah swt setelah segala usaha dan iktiar telah kamu lakukan.

Semoga anak-anakku berjaya!

Wednesday, September 9, 2009

ANUGERAH


Salam,
Alhamdulilah saya masih berkesempatan untuk mengisi ruangan ini kembali. Syukur kepada Allah kami telah dikurniakan bayi lelaki yang comel, namanya Hyaat Akyar yang lahir pada 30 Jun 2009 pada 4.16 pagi. Mungkin agak lewat bagi saya untuk dimaklumkan namun perasaan tidak percaya itu masih ada walaupun bayi kami sudah hampir mengenjak bulan ketiga.

Pada 1 September yang lalu buat pertama kali bayi kami diserahkan kepada Hadhonah Adni untuk dijaga. Sedih juga rasa kerana belum pernah diserahkan Hyaat kepada sesiapa untuk dijaga. Namun itulah hakikat hidup ini!

Untuk pengetahuan semua, kami kini telah berpindah ke Kuarters Institusi Pendidikan Ayer Panas, Setapak. Jemputlah ke rumah jika ada kelapangan.

Tuesday, May 19, 2009

Menanti.....




Anugerah paling berharga bagi setiap pasangan suami isteri ialah kehadiran anak-anak dalam kehidupan mereka. Setiap kita sentiasa merasakan bahawa setiap perkahwinan pasti akan ada tangisan dan gelak ketawa anak-anak mengisi suasana di rumah. Inilah bayangan kesempurnaan alam perkahwinan.

Tetapi kita jarang menyedari hakikat bahawa ramai yang tidak berpeluang lagi atau langsung untuk memiliki 'hadiah' istimewa ini. Saya berada dalam situasi itu untuk tempoh yang agak lama. Mungkin pada tempoh awal perkahwinan keadaan begini agak tertekan namun masa berlalu membuat hati menjadi kuat dan reda dalam ketentuan Illahi.

Namanya manusia kita tidak akan lari daripada rasa resah tambahan sebagai insan yang sangat lemah ini bukanlah kuasa kita untuk membawa manusia lain lahir ke dunia ini. Hanya usaha yang mampu kita lakukan dan selebihnya kita serahkan kepada ehsan Allah.

Hikmah dan rahsia Allah tiada siapa mampu merungkai, melalui seorang sahabat, kami disyorkan mengamalkan pemakanan berasaskan nutrisi. Walaupun asalnya kami mengamalkan bagi meningkatkan tahap kesihatan yang semakin merosot semenjak usia semakin meningkat.

Kemudiannya hendak dijadikan cerita sekitar Mei 2008, kami menerima berita gembira bahawa kehadiran 'orang baru' berjaya dikesan. Gembira hati bukan kepalang! Setiap saat mengira minit, setiap minit mengira jam begitu dengan hari dan bulan. Namun segalanya ketentuan Illahi, apabila masuk bulan yang ke-3, Allah mengambil semula pemberianNya. Sedih juga berdepan situasi begini, namun kami semakin optimis kerana ini satu tanda harapan.

Berselang hanya 2 bulan kemudian, kami menerima berita gembira lagi. InsyaAllah penghujung Jun atau awal Julai bakal lahir insan yang kami nantikan hampir 11 tahun.

Buat sesiapa yang mengalami seperti kami, bersabarlah dan terus berusaha dan berdoa. Sebelum itu pastikan anda tidak lupa mendoakan kami!


Monday, May 4, 2009

Aku, Mask dan Marker....


Sabtu, 2 Mei, memang seperti yang dirancang. Kami semua bertemu di Adni yang jangkanya 7.30 pagi tetapi 8.30 pagi masih ada belum sampai. Inilah harinya saya akan kembali semula ke zaman silam. Cuma bezanya peralatan, medannya dan usia yang sangat berbeza dengan dulu tetapi semangat dan keberanian masih sama. Muda!

Saya melihat satu persatu wajah-wajah yang berkumpul di Adni pagi itu. Ada yang agak lama tidak berjumpa namun dalam memerhati bekas-bekas pelajar yang tercari-cari siapakah yang bakal menjadi pencabar utama. Ternyata agak sukar untuk saya menentukan siapa gerangannya kerana mereka kelihatan agak biasa dan tidak berbahaya.

Mungkin ada yang terdesak untuk kelihatan agak 'bahaya' dengan memakai subang namun melihat teknik tembakan yang meracau dan hampir 'membunuh' marshal, kebimbangan saya mula hilang.

Perkara yang menarik untuk dikongsi tentang ahli-ahli dalam kumpulan saya. Saya diletakkan bersama Mujahid (suami Nihlah), Haris Kamarul, Johan, Fattah dan Maryam Unal. Eh, betul ke Maryam!!?? Macam tak percaya Maryam turut serta. Boleh ke?

Saya terus bersangka baik mungkin ada yang pernah bermain paintball sebelum ini dalam kumpulan kami. Rupa-rupanya semua kami belum pernah bermain. Habis la kali ini!

Saya lihat Maryam sedikit gementar, bagi mengurangkan rasa gementar saya pun buatlah sedikit perancangan walaupun saya sendiri tidak pasti.

Apabila marshal memulakan permainan, saya lihat Maryam bukan seperti Maryam yang sebentar tadi. Tadinya yang agak pucat kini berbeza setelah memegang marker (senapang) dan mula menembak musuh dengan begitu sadis. Saya yang melihat dari belakang pun terasa ngeri melihat perlakuan itu. Rasanya dalam permainan pertama itu Maryam yang banyak melindungi saya. Saya amat bersyukur kerana berada di belakang Maryam, jika di depan mungkin saya juga menjadi mangsa tembakannya.

*Foto diambil dari Facebook Atiyah
(Terima kasih!)

Thursday, April 30, 2009

Radio, TV dan Combat

Beberapa hari lepas apabila Syaraf dan Jabbar mengajak saya bermain paintball, sejak itu kisah silam mula bermain dalam lipatan kenangan mula terungkai kembali. Kisah yang lama dilupakan berlaku sekitar 70-an ketika saya masih kanak-kanak. Awal 70-an radio menjadi medium hiburan kami. Setiap rumah pasti ada radio. Drama radio menjadi rancangan yang paling saya gemari dan kerap pula diputarkan di radio dari pagi hingga ke malam. Jika waktu paginya drama tentang keluarga, sebelah tengah hari tentang bangsawan atau syair manakala malam pula kebanyakan kisah seram.

Kemudian kami diperkenalkan dengan tv. Ketika itu tv masih hitam putih gambarnya. Seingat saya orang yang pertama memiliki tv di kampung saya, kami panggil Pak Ngah Sarip. Kalau orang kampung mampu miliki tv, dia boleh dikatakan agak senang berbanding orang kampung lain pada waktu itu. Walaupun tv hitam putih kami tak kisah pun kerana itulah teknologi paling takjub pada waktu itu. Yang lucunya kalau sesiapa nak menonton kena bayar sekupang bagi kanak-kanak dan dua kupang bagi dewasa. Tapi biasanya saya tak mampu nak bayar, jadi intai ikut lubang-lubang tingkap saja. Yang menarik tenaga elektrik masih belum ada di kampung, generator digunakan. Kami yang di luar hanya mengintai gambar tetapi suara ditenggelam oleh bunyi generator. Itu pun dah cukup puas.

Selang beberapa tahun, Tok Su Din pula beli tv. Rumah Tok Su Din hanya seberang jalan saja. Pada masa itu cerita bersiri Combat sedang menjadi kegilaan. Setiap Rabu pasti ramai yang berada di sekitar rumah Pak Su Din kerana siri Combat ditayang pada malamnya. Kadang-kadang ketika saat perang, enjin generator pula meragam. Lebih malang enjin gagal dihidupkan hingga akhir rancangan. Esoknya di sekolah biasanya masa rehat, sesiapa yang menonton menjadi hero dengan cerita Combat yang membuat kawan-kawan ternganga mendengarnya.

Daripada itulah timbul idea untuk bermain kombat. Dengan kreativiti budak kampung kami memotong papan mengikut bentuk senapang. Dengan menggunakan getah lastik dan pelapik kulit. Getah diikat dihujung senapang dan ditarik pelapik kulit ke bahagian atas. Jika lastik diletakkan batu sebagai peluru, tetapi senapang ini menggunakan batang-batang bemban yang dipotong lebih kurang 2 inci.

Ini antara permainan kampung yang masih saya rindu sehingga hari ini. Permainan ini membaur segala perasaan; takut, gerun, gembira, lucu dan pastinya kesakitan yang teramat jika ditembak. Yang pastinya, jika terkena tembakan peluru bemban akan membuatkan kulit anda lebam berhari-hari.

Ajakan Syaraf dan Jabbar buat saya terkejut kerana langsung tidak pernah terfikir untuk bermain permainan ini. Saya kini sudah berusia dan bukan seperti zaman Combat dengan Vic Morrow pujaan kami. Namun bagi yang masih memandang rendah kemampuan saya ini, ingat pengalaman sebagai budak kampung dengan senapang bemban akan mengajar anda secukupnya. Jumpa dalam perang paintball jika masih ada anak kota yang berani!!!

Tuesday, February 24, 2009

Shawkani 2009























Sedikit ruang buat pelajar PMR 2009 As-Shawkani. Semoga kejayaan PMR tahun ini akan bersama-sama kalian. Teruskan usaha!