Followers

Sunday, December 13, 2009

Menyimpul Talian Ukhuwah 1

Bertemu semula dengan kawan lama sesuatu yang sangat menggembirakan dan bermakna bagi percutian kali ini. Perjalanan ke Utara pada 4 Disember sangat bermakna walaupun hampir dibatalkan disebabkan keuzuran bapa mertua saya pada pagi itu. Namun setelah agak pulih sebelah petangnya, kami teruskan perjalanan sebagaimana dirancang.

Matlamat kami pada malam itu untuk menginap di Sungai Petani, namun bercadang ke Batu Kurau terlebih dahulu untuk bertemu dengan kawan lama isteri saya sewaktu menuntut di Ehya' Al-Syariff, Gunung Semanggol. Ketika ini dia bertugas di Sekolah Menengah Agama Shubaniah, Batu Kurau. Ketika di situ baru saya teringat saya juga punya kawan Ustaz Shahibol yang tinggal di Batu Kurau. Shahibol ni kawan lama sewaktu saya tinggal di Batu Gajah. Beliau dan abangnya Cikgu Zul serta saya dan abang saya Allahyarham Cikgu Jaafar sama-sama menubuhkan pusat tuisyen di Batu Gajah. Pusat kamilah yang pertama di Batu Gajah yang ketika itu umpama pekan koboi.

Kami bertemu di sebuah restoran di pekan itu, setelah berbual panjang saya dimaklumkan Cikgu Zul pun telah beberapa tahun pulang ke Batu Kurau. Apa lagi saya terus hubungi beliau dan dia terus dapatkan kami walaupun hampir Maghrib.

Beliau berkeras mengajak kami ke rumahnya dan tak membenarkan kami teruskan perjalanan pada waktu Maghrib. Saya pun masih ingin berbual lagi, jadi kami singgah juga sebentar di rumahnya. Bayangkan kami tidak pernah berjumpa sejak anaknya yang sulung berumur 1 tahun sehingga kini anaknya itu sudah berumur 19 tahun dan menuntut di UITM, Arau.

Pertemuan itu sangat bermakna kerana saya berpeluang bertemu dengan mentor saya iaitu orang yang banyak membantu membina karier saya dalam bidang pendidikan. Perjalanan ke Sungai Petani malam itu dengan 'mood' yang baik bakal menjadi permulaan kepada perjalanan lebih bermakna. Dalam hati saya panjatkan kesyukuran kepada Allah.

No comments: