Followers

Wednesday, December 2, 2009

Emmm... Manisnya

Amat bertuah kali ini musim buah-buahan di kampung ketika cuti persekolahan. Dapatlah saya berpeluang menikmati sepuas-puasnya setelah lama menanti saat dan kesempatan yang sebegini. Pastinya buah durianlah yang menjadi sasaran utama, lainnya duku, langsat dan rambutan turut menjadi mangsa ratahan ganas tanpa belas kasihan. Sayangnya buah manggis sahaja yang kurang menarik sebabnya tak sanggup nak panjat pokoknya yang terlalu tinggi. Tambahan dalam usia sebegini sangat perlu menjaga tulang dan urat saraf.
Walau apapun yang pentingnya semuanya percuma. Percuma!? Macam tak percaya... kan?

Sebenarnya itulah yang menarik kehidupan di kampung. Dalam beberapa hari berada di kampung ada sahaja yang menghantar buah-buah ke rumah. Ada yang beri durian, duku, langsat, rambutan dan ada juga yang beri petai. Itulah kebiasaan dan kelaziman masyarakat di kampung ini ketika musim buah. Sebab itu Allah sentiasa melimpahkan rezeki kepada masyarakat Bukit Gantang ini.


Ini membuatkan saya terfikir perbandingan masyarakat di sini dan di kota. Pekerjaan masyarakat di sini sekadar kerja-kerja kampung yang pendapatannya boleh dikatakan di bawah paras miskin. Namun mereka tidak susah di sini kerana kehidupan mereka bukan semestinya bergantung kepada banyaknya jumlah wang yang dihasilkan. Perlukah wang jika dusun atau kebun mereka menghasilkan keperluan dapur? Kalau tiada pun, dusun atau kebun jiran masih ada... minta sahaja.


Kita yang hidup di kota tiada budaya begitu. Kita melihat wang penting dalam setiap perkara kehidupan. Malah kita menilai kebaikan manusia daripada sudut wang. Maksud saya kita lebih suka dan tertarik jika seseorang itu menampil diri dengan segala kemewahan tanpa mempedulikan soal akhlak dan moralnya. Wah, makin serius topik ni! Sorry dah melalut sepatutnya tulis pasal buah.

Berbalik pasal buah di kampung ni, saya sedikit rasa sedih. La sedih pulak! sepanjang perjalanan dari Changkat Jering melalui Trong hingga ke Kampung Tebok sampai ke Sungai Kerang saya sedih melihat buah-buah rambutan yang hampir masak ranum penuh bergayutan. Begitu juga sepanjang perjalanan ke Kuala Kangsar, seolah-olah rezeki yang dikurniakan Allah dipersiakan. Mungkin buah-buah di sini sudah tiada harga agaknya fikir saya. Ketika di Kuala Kangsar saya bertanyakan harga rambutan. Nak tahu harganya? RM2 sekilogram! Bermakna rambutan masih punya harga.
Agaknya apakah idea yang sewajarnya dilakukan masyarakat di sini supaya rezeki pemberian Allah ini tidak dibazirkan sebegini rupa.

No comments: