Followers

Thursday, March 31, 2011

Macam Tak Percaya...


Entah kenapa ketika pulang semalam terdetik hati saya untuk membuat piza. Saya pun singgah di Giant untuk membeli keperluan. Sebelum itu beberapa minggu lalu saya memberitahu isteri bahawa saya tahu membuat piza. Terkejut juga iateri saya. "Bila pula abang buat piza," tanya isteri saya. "Belum lagi, tapi dah tau buat, sebab tengok kat Youtube."

"Eleh ingatkan dah buat." kata isteri saya sambil berlalu.

Kebanyakan kita tidak menyedari bahawa kita banyak pengetahuan tentang sesuatu tetapi belum pernah melakukannya. Sewaktu belajar di universiti kita diajar segala macam berkaitan bidang kerjaya tetapi semuanya secara teori. Apabila bekerja rasanya suasana kerja itu bukan lagi asing kerana kita telah dilatih sejak awal lagi.

Setelah pulang saya, seperti biasa isteri saya belum pulang dari sekolahnya. Kebiasaanya isteri saya akan pulang sekitar 7.15 - 7.30 petang. Bermula jam 6.30 petang saya mula menguli tepung dan dicampur serbuk penaik serta air. Hanya mengambil masa selama 5 minit menguli tepung dan siap.

Saya kemudian menyediakan topping pula. Ketika sibuk di dapur kedua-dua anak saya pun seolah-olah turut teruja. Si kecil dengan walkernya sesekali memasuki dapur sementara abang minta didukung untuk melihat.

Untuk pengetahuan semua saya tidak memiliki oven atau microvave, agak pelik juga memasak piza tanpa menggunakan salah satu peralatan itu. Dapur yang saya gunakan hanyalah dapur pemanggang sahaja (seperti dalam gambar). Namun itu semua tidak jadi masalah jika kita tahu apa yang sepatutnya dilakukan. Terima kasih Astro 703, tak sia-sia aku bayar puluhan ringgit setiap bulan.

Kemudian saya pun membakar piza dan mengambil masa kira-kira 20 minit. Jadilah sekeping piza yang sempurna. Ketika isteri saya pulang bau harum piza menerawang seluruh ruang rumah kami. Tersenyum lebar isteri saya.

Ketika makan, isteri bertanya saya kandungan roti. Senang, tepung, serbuk penaik dan air. "Serbuk penaik? Bukan ke sepatutnya yis," tanya isteri saya.

"Eh, serbuk penaik dan yis tu lain ke?"

Wednesday, March 30, 2011

Kenapa Halang Kerata Saya?


Sewaktu tamat latihan teakwondo minggu lalu, saya yang agak keletihan pun longlai melangkah pulang. Ketika tiba di tempat letak kereta, kelihatan sebuah Kancil diletakkan betul-betul di belakang kereta saya. "Kereta siapa la pula ni?"

Selang 4 ruang parking terdapat beberapa orang sedang berbual-bual, mungkin kereta mereka. Kehadiran saya ke kereta memang sedang diperhatikan mereka. Saya pun menghidupkan enjin kereta saya dengan harapan jika kereta itu milik salah seorang mereka sudah tentu dia akan memahaminya. Sayangnya tiada yang merespon. Mungkin bukan kereta mereka....

Saya pun bermundar-mandir di sekitar kereta berkenaan sambil cuba menolak Kancil itu. Ternyata brek tangan menyebabkan kereta yang kecil itu langsung tidak bergerak. Kumpulan lelaki itu masih memerhatikan gelagat saya mungkin agak bersimpati namun tiada antara mereka yang cuba membantu.

Saya yang sedikit geram bercampur buntu hanya mampu bersandar di belakang kereta. Kemudiannya saya terus menekan hon kereta berkali-kali. Namun tetap tiada respon daripada sesiapa pun. Saya kemudian bertanya taukeh kedai Cina yang berdekatan, dia pun tidak tahu milik siapa kereta itu.

Tiba-tiba salah seorang rakan saya turun dari pusat taekwondo dan melihat keadaan saya lalu terus membuka kereta Kancil berkenaan. Ternyata kereta itu tidak berkunci. Melihat perlakuan kawan saya itu, salah seorang daripada lelaki yang berada di situ tiba-tiba meluru. Rupa-rupanya dialah pemilik kereta berkenaan. Saya yang sememangnya tengah panas hampir sahaja meletup cuma dia memang bernasib baik kerana uniform teakwondo saya telah saya buka sebelum pulang. Itu sahaja yang menyelamatkannya!

ECA...


Baru-baru ini buat pertama kali saya menghadiri mesyuarat ECA atau extra curicular activities. Mungkin kebanyakan pelajar di Adni masih tidak mengetahui tentang ECA namun buat beberapa ketika nanti pelajar akan disibukkan dengan subjek tambahan iaitu ECA.

Saya sendiri yang bakal menerajui ECA telah diberi beberapa perancangan yang akan dijalankan pada tahun ini.Rasa-rasanya tugas mengendalikan program ini sangat mencabar. Pada peringkat awalnya saya rasakan ECA agak mudah namun setelah mensyuarat yang pertama itu saya agak bimbang jika usaha kami tidak mencapai matlamat yang diharapkan.

Friday, March 25, 2011

Jom...


Semalam 24 Mac saya berpeluang mengikuti bengkel anjuran DBP dengan kerjasama PPD Gombak. Dalam bengkel ini telah membuka sedikit minda saya dalam penggunaan majalah sewaktu P&P. Program tersebut merupakan strategi pemasaran DBP bagi melariskan jualan majalah mereka serta peluang bersama penceramah berkenaan yang mempromosi keadah ini. Namun itu semua bukan sesuatu yang penting untuk saya tuliskan di sini.

Seusai bengkel saya mula memikirkan sesuatu yan bermanfaat. Saya mula terfikir untuk memulakan langkah mengumpul hasil penulisan pelajar yang terbaik dan menjadikannya dalam bentuk buku. Kali ini pelajar sendiri akan menjadi salah seorang penulis dalam buku yang akan dikeluarkan nanti.

Selama ini pelajar hanya menjadi pembeli buku tetapi kini stigma bahawa penulisan buku hanya untuk golongan tertentu atau pakar sahaja mungkin tiada lagi dalam persepsi mereka. Langkah sebegini mungkin sebagai permulaan galakan kepada pelajar menulis bahan bacaan dan mencambahbiakkan budaya ilmu dalam masyarakay kita terutama dalam kalangan remaja. Jom kita memulakannya dan lakukan sesuatu.