Followers

Thursday, April 30, 2009

Radio, TV dan Combat

Beberapa hari lepas apabila Syaraf dan Jabbar mengajak saya bermain paintball, sejak itu kisah silam mula bermain dalam lipatan kenangan mula terungkai kembali. Kisah yang lama dilupakan berlaku sekitar 70-an ketika saya masih kanak-kanak. Awal 70-an radio menjadi medium hiburan kami. Setiap rumah pasti ada radio. Drama radio menjadi rancangan yang paling saya gemari dan kerap pula diputarkan di radio dari pagi hingga ke malam. Jika waktu paginya drama tentang keluarga, sebelah tengah hari tentang bangsawan atau syair manakala malam pula kebanyakan kisah seram.

Kemudian kami diperkenalkan dengan tv. Ketika itu tv masih hitam putih gambarnya. Seingat saya orang yang pertama memiliki tv di kampung saya, kami panggil Pak Ngah Sarip. Kalau orang kampung mampu miliki tv, dia boleh dikatakan agak senang berbanding orang kampung lain pada waktu itu. Walaupun tv hitam putih kami tak kisah pun kerana itulah teknologi paling takjub pada waktu itu. Yang lucunya kalau sesiapa nak menonton kena bayar sekupang bagi kanak-kanak dan dua kupang bagi dewasa. Tapi biasanya saya tak mampu nak bayar, jadi intai ikut lubang-lubang tingkap saja. Yang menarik tenaga elektrik masih belum ada di kampung, generator digunakan. Kami yang di luar hanya mengintai gambar tetapi suara ditenggelam oleh bunyi generator. Itu pun dah cukup puas.

Selang beberapa tahun, Tok Su Din pula beli tv. Rumah Tok Su Din hanya seberang jalan saja. Pada masa itu cerita bersiri Combat sedang menjadi kegilaan. Setiap Rabu pasti ramai yang berada di sekitar rumah Pak Su Din kerana siri Combat ditayang pada malamnya. Kadang-kadang ketika saat perang, enjin generator pula meragam. Lebih malang enjin gagal dihidupkan hingga akhir rancangan. Esoknya di sekolah biasanya masa rehat, sesiapa yang menonton menjadi hero dengan cerita Combat yang membuat kawan-kawan ternganga mendengarnya.

Daripada itulah timbul idea untuk bermain kombat. Dengan kreativiti budak kampung kami memotong papan mengikut bentuk senapang. Dengan menggunakan getah lastik dan pelapik kulit. Getah diikat dihujung senapang dan ditarik pelapik kulit ke bahagian atas. Jika lastik diletakkan batu sebagai peluru, tetapi senapang ini menggunakan batang-batang bemban yang dipotong lebih kurang 2 inci.

Ini antara permainan kampung yang masih saya rindu sehingga hari ini. Permainan ini membaur segala perasaan; takut, gerun, gembira, lucu dan pastinya kesakitan yang teramat jika ditembak. Yang pastinya, jika terkena tembakan peluru bemban akan membuatkan kulit anda lebam berhari-hari.

Ajakan Syaraf dan Jabbar buat saya terkejut kerana langsung tidak pernah terfikir untuk bermain permainan ini. Saya kini sudah berusia dan bukan seperti zaman Combat dengan Vic Morrow pujaan kami. Namun bagi yang masih memandang rendah kemampuan saya ini, ingat pengalaman sebagai budak kampung dengan senapang bemban akan mengajar anda secukupnya. Jumpa dalam perang paintball jika masih ada anak kota yang berani!!!