Followers

Monday, August 16, 2010

Anugerah Kedua



Masih seperti bermimpi walaupun telah seminggu menerima 'hadiah' daripada Allah dengan kelahiran bayi perempuan yang comel pada Isnin, 9 Ogos 2010. Setahun selepas kelahiran Hyaat, anak pertama kami, kami dikurniakan Allah seorang lagi ahli keluarga. Saya masih tidak menyangka selama lebih sepuluh tahun hanya kami berdua menyelusuri hidup sepi tanpa anak kini hari-hari kami kelihatan lebih bermakna dengan tangisan dan rengekan serta senyum dan tawa.

Pada ketika ini saya masih belum mendaftar kelahiran anak ini. InsyaAllah namanya Haneen Ulfa, nama yang dipilih oleh ibunya. Harapan saya kepada semua, doakan agar anak ini menjadi anak yang solehah dan muslimah yang bakal berbakti kepada agamanya.

Thursday, June 10, 2010

Jalan-Jalan Di Krabi













Hari ini Khamis, kami semua hanya berjalan-jalan di sekitar Krabi. Kem Bahasa Inggeris telah tamat semalam. Sedih juga berpisah dengan pelajar-pelajar di sana. Walaupun program tidak dirancang tetapi segala yang kami lakukan di sini semua pelajar berpuas hati. Malah semua mereka memberikan maklum balas yang positif.

Beberapa tempat menarik di sekitar Krabi telah kami lawati. Perjalanan bermula dengan melawat Hot Spring iaitu sebuah sungai air panas. Sayangnya disebabkan pagi ini hujan turun dengan lebatnya, kami hanya dapati air sangat keruh. Saya pun malas untuk mengambil gambar. Seterusnya melawat Morakot sebuah tempat yang mengandungi beberapa buah kolam yang airnya mengandungi calsium yang tinggi. Airnya sangat jernih dan inilah pertama kali dalam hidup melihat air yang sangat jernih. Paling akhir Maghrib tadi melawat pasar malamnya.

Tuesday, June 8, 2010

Salam Dari Krabi

Kami sekarang berada di Krabi di rumah salah seorang bapa pelajar Adni. Alhamdulillah Kem Bahasa Inggeris untuk hari pertama telah berjaya dilaksanakan. Layanan orang di sini memang sangat mengkagumkan. Setiba kami semalam disambut ke Sunda Resort milik Puan Aishah.

InsyaAllah maklumat selebihnya serta gambar akan dihantar kemudian.

Wednesday, May 19, 2010

From Taiping With Love




Tajuk 'From Taiping with Love' diambil dari sebuah kartun popular Gila-Gila yang dilukis oleh Allahyarham Rasyid Asmawi seorang kartunis yang berasal dari bandar ini. Karyanya sangat popular lewat 90an dan kehebatannya masih melekat hingga kini.

Alhamdulillah baru-baru ini saya berpeluang pulang ke kampung menghadiri majlis perkahwinan anak saudara. Oleh sebab kepulangan saya hanya hujung minggu saya pun mengajak dua orang pelajar dari kelas saya, Izman dan Fazil untuk mengikut ke bandar kelahiran saya ini.

Walaupun kunjungan hanya sebentar tetapi saya cuba mengisi perjalanan mereka dengan melawat beberapa tempat yang boleh memberi manfaat kepada mereka seperti ke gok arang (kilang pembuatan arang dari kayu bakau) dan Muzium Taiping.

Gambar-gambar perjalanan ini sepatutnya dirakam oleh Fazil. Sayangnya kamera Fazil kehabisan bateri. Dek kerana cintanya kepada kamera tersebut, dia terus menggantung di lehernya 'benda' yang tidak berfungsi itu ke mana-mana sahaja. Nasib baik mereka 'diselamatkan' oleh telefon bimbit saya yang mempunyai kemampuan rakaman gambar yang hebat. Hakikatnya untuk mendapatkan gambar yang hebat tidak semestinya daripada kamera yang canggih, yang penting siapa jurugambarnya.

Monday, May 3, 2010

Kunjungan Ehsan



Ketika lawatan ke sekolah-sekolah agama di Thailand bersama guru Adni tahun 1998, saya telah berazam pada diri saya untuk membuat satu lagi program susulan. Kami mendapati bahawa kebanyakan sekolah yang kami lawati amat memerlukan bantuan bagi membantu subjek Bahasa Inggeris pelajar-pelajar mereka. Namun rancangan saya untuk datang semula pada 2009 tidak kesampaian kerana ketika itu isteri saya sedang sarat mengandung anak pertama kami.

Namun rasa 'berhutang' tetap mengganggu saya, membuatkan saya perlu memenuhi janji pada diri saya bagi melaksanakan program yang tertangguh. Walaupun pada ketika kami pergi nanti isteri saya sedang sarat mengandung anak kedua kami. Saya amat berharap kali ini tiada penangguhan dan Allah memudahkan urusan kami.

Terdapat dua perkara yang bermain dalam pemikiran saya sewaktu berada di sana ketika itu, saya mendapati perlunya kami membantu menaikkan semangat anak-anak pelajar di sekolah-sekolah berkenaan dalam pembelajaran bahasa Inggeris. Selain itu kehadiran kami di sana dapat mengeratkan silaturrahim dengan guru-guru tempatan selain memberi perangsang kepada mereka. Salah sebuah sekolah yang pernah kami lawati ialah Uttayan Suksa Krabi sebuah sekolah agama yang masih mengekalkan konsep pondok. Sekolah ini telah saya catatkan dalam ruang bertajuk "Lawatan ke Krabi II. Sekolah berkenaan amat berharap agar dapat menjalinkan hubungan lebih erat dan pihak kami dapat membantu mereka dalam pembelajaran bahasa Inggeris.

Sekolah-sekolah agama yang terdapat di Thailand dibina dengan sumber dan usaha daripada para ustaz serta bantuan orang ramai. Terdapat sebuah sekolah yang sangat menyentuh hati saya semasa lawatan saya ke sana. Sekolah berkenaan terletak dalam kawasan hutan dan berbukit berhampiran Phuket. Sekolah berkenaan bernama Phuket Darul Vithiya, dibina dengan kegigihan bagi menyediakan peluang pendidikan agama kepada masyarakat Islam di sana. Ketika kami ke sana, sekolah berkenaan masih dalam pembinaan dan para pelajarnya belajar dalam suasana yang agak daif. Sedikit maklumat tentang sekolah berkenaan boleh dibaca dalam catatan saya bertajuk "Lawatan ke Phuket" tahun 2008.

Program intensif subjek Bahasa Inggeris yang akan dilaksanakan selama 2 hari di Krabi serta sumbangan ke Phuket Darul Vithiya kelak bukan ditaja oleh mana-mana pihak. Ini semua adalah hasil daripada keinginan kami untuk membantu tanpa dibayar atau ditaja oleh pihak sekolah berkenaan. Harapan saya jika kami diberi kesempatan semula dapatlah kami membawa sumbangan warga Adni dan rakyat negara ini bagi menampung keperluan prasarana sekolah. Hubungi saya sebelum tarikh kami berangkat ke sana pada 6 Jun 2010, jika anda mahu menyumbang dalam usaha kami ini.

Tuesday, April 6, 2010

Satu Pertemuan...

Sejak saya berpindah ke Setapak kerap juga saya 'berjogging' di Taman Tasik Titiwangsa. Kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan dan bersukan terbukti dengan jumlah pengunjung yang ramai terutama pada hujung minggu. Saya yang lebih selesa mengunjung taman berkenaan pada Sabtu dan Ahad, tetapi pada Sabtu lalu saya perlu menghadiri majlis graduation '09.

Kesempatan hanya terluang pada hari Ahad sahaja. Kalau dahulunya saya akan ditemani isteri tetapi sekarang saya sering datang sendirian. Seperti kebiasaannya saya akan hanya berjalan mengelilingi taman itu satu pusingan sahaja yang mengambil masa kira-kira 30 minit. Tetapi pada hari itu ketika saya hampir tamat pusingan tiba-tiba ada yang menyapa. Saya menoleh ke belakang dan mendapati orang yang menyapa itu tidak saya kenali sebelumnya. Kami berkenalan sambil terus berjalan. Beliau memperkenalkan diri sebagai Haji Mohd Noor.

Saya membalas sapaan dan memulakan perbualan biasa. Saya yang hampir tamat itu terpaksa menyambung satu lagi pusingan disebabkan perbualan semakin menarik. Walaupun pertemuan itu hanya seketika cuma tetapi sangat bermakna.

Bagi kebanyakan kita apabila seseorang itu sudah memasuki usia persaraan maka fungsi dan peranannya kepada bidang kerjaya dan syarikat sudah kurang dari segi kualiti. Kebanyakan kita menganggap mereka sudah tidak cergas lagi akibat batasan-batasan fizikal.

Namun pertemuan pagi itu telah memecah persepsi negatif saya terhadap usia emas. Haji Mohd Noor berkelulusan ekonomi dan merupakan seorang pesara dan bekas ahli lembaga pengarah salah sebuah syarikat minyak antarabangsa. Ketika usianya 54 tahun beliau menyambung semula dalam ijazah undang-undang syariah dan sivil dan meneruskan pengajian ke peringkat master. Kini beliau dalam usia 66 tahun beliau mempunyai firma guamannya sendiri dan mempunyai beberapa orang peguam lain di bawahnya.

Kisah beliau sangat mengkagumkan saya kerana sukar mencari sesiapa pun yang sanggup memulakan bidang kerjaya yang baru ketika usia memasuki alam persaraan. Namun bagi Haji Mohd Noor cinta beliau kepada ilmu serta keyakinan beliau terhadap prospek bidang guaman, menjadikan beliau sanggup bermula semula dari bawah.

Sejak itu saya mula terfikir tentang ke arah perubahan hidup yang lebih objektif. Saya mula melihat diri saya dalam beberapa tahun akan datang. Adakah masih statik begini?

Moga semangat Haji Mohd Noor terus terserap dalam diri saya.




Tuesday, March 23, 2010

Rumah Abah


Melintasi rumah itu kelmarin buatkan saya tenggelam dalam kenangan lalu. Untuk melintasi rumah pusaka itu saya terpaksa mengambil masa beberapa hari mengumpul kekuatan. Sejak pemergian abah saya Disember 2008, ahli keluarga saya memutuskan untuk menyewa sahaja supaya keadaan lebih terpelihara. Pemergian abah saya telah membawa sekali kenangan terindah di rumah yang mendewasakan kami 10 beradik. Tanah tapak rumah itulah yang menjadi saksi segala kegetiran abah dan mak membesarkan kami semua.

Sebagai pekerja sendiri, abah melakukan segala pekerjaan kampung. Daripada nelayan menangkap ikan, menangkul ketam, menoreh getah, bertani ubi dan jagung serta berdusun ketika musimnya, begitu juga menternak kambing dan lembu dan akhirnya menceburi perniagaan ikan dan runcit. Segala usaha itu terangkum dek kasih sayang yang mendalam serta rasa kebertanggungjawaban yang tinggi bagi memberi hidup kepada kami semua.

Saya, anak bertuah ini hanya sekadar mendengar cerita kakak-kakak dan abang-abang tentang keperihan mereka dalam menghadapi kemelut hidup. Malah ada kakak yang sangat cemerlang dalam pelajaran terpaksa berkorban cita-cita tingginya dengan berhenti persekolahan semata-mata menjaga kami adik-adik yang masih kecil kerana mak perlu turut bekerja membantu abah. Tinggi pengorbanan mereka kepada saya, kakak-kakak saya tidak berpelajaran tinggi tetapi kehidupan mereka kini jauh lebih baik daripada kami. Semangat kental abah terserap dalam diri kakak-kakak saya yang akhirnya mereka kini berjaya dalam perniagaan yang mereka usahakan.

Ketika mengandung anak pertama kami, isteri saya terlalu menginginkan siput kemudi. Kampung saya sangat hampir dengan laut, jadi untuk mendapatkannya bukanlah sesuatu yang sukar. Namun malangnya sehingga kelahiran anak pertama kami, isteri saya masih belum berkesempatan menikmatinya. Kata orang tua-tua jika wanita mengandungi tak kesampaian idamnya, anak nanti akan meleleh liurnya. Entah hakikat atau kebetulan, sejak anak ini boleh meniarap air liurnya kerap mengalir. Sering pula ditegur orang tentang mengidam yang tidak kesampaian.

Setiap kali pulang saya hanya menginap di rumah mertua sahaja kira-kira 15 minit perjalanan ke kampung saya. Untuk mendapatkan siput kemudi saya perlu pulang ke kampung, satu tempat yang cuba saya elak. Di situ segala macam siput ada dijual. Dengan segala kekuatan, saya terpaksa juga melintasi rumah abah yang akhirnya mengumpul segala kesedihan kehilangan keluarga yang sukar disatukan semula ketika semuanya dipisahkan jarak serta komitmen.

Namun misi mencari siput kemudi masih tetap gagal buat kesekian kalinya...

Tuesday, March 9, 2010

Qiam yang Suram


Sejak yang bekerja di Adni, saya mula mengenali program qiamullail. Ketika itu Ustaz Asmadi merupakan penggerak penting. Saya sendiri begitu suka dengan program ini begitu juga dengan guru-guru serta pelajarnya. Seolah-olah masih terbayang sosok-sosok pelajar seperti Jabbar, Syed Mohammad, Syed Haris, Habib Omar, Hatim. Hafizuddin, Nabil dan puluhan rakan-rakan mereka yang lain.

Sehingga kini saya rasa Adni menjadi institusi yang hebat kerana memiliki pelajar-pelajar hebat ini. Mereka begitu dekat dengan kami, malah sekolah menjadi rumah kedua mereka serta tempat yang sangat disenangi. Hubungan erat itu sehingga kini dengan sesekali perjumpaan bersama walaupun ada yang belajar beribu batu jauhnya.

Pada Jumaat lalu, dalam kepenatan membuat persiapan sukan tahunan, program qiam tetap dijalankan sebagaimana dirancang. Dek kerana jumlah pelajar yang semakin ramai pelajar dipisahkan kepada dua kumpulan. Kali ini hanya untuk pelajar tingkatan 1 dan 2 sahaja. Saya yang langsung tidak mengenali kebanyakan mereka, hadir sebagai guru kelas tingkatan 1A. Niat di hati ingin qiam bersama. Namun gelagat para pelajar ini buat saya menjadi resah serta kehilangan fokus.

Semasa tayangan video, sebilangan mereka langsung tidak memberi perhatian. Malah berbual dan ketawa sesama sendiri sehingga terpaksa dihentikan tayangan berkenaan. Begitu juga ketika seorang ustaz memberi tazkirah, pelajar dilihat memberi respon yang seolah-olah mempermain-mainkan supaya menarik perhatian kawan-kawan lain agar ketawa.

Saya yang agak panas terus sahaja beredar daripada program ini dan pulang. Sepanjang perjalanan saya banyak berfikir tentang kewajaran program sebegini diteruskan. Fikir saya, ini hanya mendidik sikap ego dan menunjuk jaguh dalam kalangan mereka. Ketika itu jugalah terputar dalam bayangan saya wajah-wajah hebat yang pernah Adni miliki suatu ketika dahulu...






Wednesday, February 24, 2010

Senyuman Yang Terindah


Senyum itu satu sedekah. Mudah benar kalau hendakkan pahala. Berikan sahaja senyuman! Senyuman membuatkan kita rasa bahagia terutama senyuman ayah dan bonda tercinta. Sejak saya berkahwin saya amat suka dengan senyuman isteri saya. Walaupun dia sering komen lawak saya sangat bodoh dan tak menjadi tetapi dia akan tersenyum juga. Pada saya kalau saya berjaya buat isteri saya tersenyum kira lawak tu taklah bodoh sangat tapi mungkin hanya tergolong dalam kategori bodoh sahaja.

Saya masih teringat sebab saya terpaksa memakai cermin mata walaupun masalah rabun saya telah lama saya deritai. Pada saya, kelihatan kurang 'macho' kalau berkaca mata. Namun semuanya kerana tersalah faham mentafsir senyuman. Saya yang rabun ini membalas senyuman siap dengan mengangkat tangan sebagai tanda kemesraan. Ketika saya semakin hampir barulah saya sedar rupa-rupanya saya diperdaya oleh barisan giginya yang agak terlebih ke depan yang sangka saya satu senyuman. Peristiwa inilah membuatkan saya akhirnya melangkah longlai ke kedai cermin mata esoknya dan berkaca matalah saya sehingga ke hari ini yang hampir 20 tahun tertenggek di atas hidung ini.

Setelah saya dikurniakan seorang anak yang kini hampir 8 bulan usianya, satu kegembiraan yang terhebat apabila anak saya tersenyum kepada saya. Sejak anak ini boleh tersenyum, dia akan terus tersenyum apabila melihat saya. Senyuman itu terus ada di mana-mana walaupun dia tidak bersama.

Namun baru-baru ini saya kehilangan senyuman itu. Bermula awal Januari anak saya menghidap demam dan batuk-batuk. Dalam hampir 2 minggu sudah lebih 6 kali kami ke klinik namun suhu badannya masih belum turun. Tiada lagi senyuman yang magis itu yang ada hanya rengekan dan tangisan.

Kami terus dirujuk ke HKL dan anak kami di tempatkan di wad pediatrik. Setelah hampir seminggu rawatan anak saya dibenarkan pulang namun senyuman masih kosong di wajahnya. Setelah menanti beberapa hari akhirnya senyuman itu bersimpul jua. Sahlah anak saya telah pulih daripada demamnya.

Terima kasih kerana hadiahi baba senyuman.....

Thursday, January 7, 2010

Kucing Tidur





Baru-baru ini musim durian hadir ketika cuti persekolahan. Jarang sekali peluang merasa musim durian ketika cuti. Sebenarnya musim durian berlaku di mana-mana pun pada bila-bila tetapi di tempat saya kebetulan berlaku pada cuti. Saya agak jarang membeli buah durian, tidak pasti sebabnya saya kurang berminat untuk membeli di gerai tepi-tepi jalan. Mungkin rasanya tidak lagi sesegar durian yang ada di kampung. Atau mungkin juga faktor harganya yang boleh dikatakan sedikit mahal.
Durian antara buah yang agak unik kerana mempunyai kulit yang berduri manakala bahagian dalam buah ini mempunyai pangsa dan di bahagian luar kulitnya ada terukir garisan pangsa supaya memudahkan kita mengupasnya. Setiap pangsa durian mengandungi beberapa ulas bergantung kepada saiz durian. Besar saiznya maka banyaklah ulas durian di dalamnya. Durian sejenis buah yang akan menyebabkan badan kita akan panas. Petua orang tua-tua minum air yang dituang dalam ruang ulas pangsa dan minum airnya. Cubalah!

Kadang-kadang dalam setiap pangsa hanya mempunyai seulas sahaja isinya. Inilah yang dikatakan 'kucing tidur'. Saya tidak pernah bertanya mengapa diberi nama itu kerana tiada kena mengena dengan kucing pun.
Dek kerana keistimewaan kucing tidur ini menyebabkan kami sering berebut jika ada durian yang mempunyainya. Tambah 'syahdu' jika bijinya pula kecil dan bentuknya sangat nipis berbanding saiz biasa. Di tempat saya biji begitu dipanggil biji kepik. Jika durian biasa berbiji kepik pun sudah merasa sangat bersyukur inikan pula kucing tidur berbiji kepik.

Baru-baru ini saya berpeluang menikmati 'kucing tidur' dengan saiz buahnya sangat besar. Saya kira mungkin di dalamnya beberapa ulas tetapi tanpa disangka hanya seulas sahaja. Apabila saya merasanya rupa-rupanya kucing tidur berbiji kepik ternyata ketika itu saya umpama mendapat dua anugerah dalam satu masa yang sama.

Tuesday, January 5, 2010

Menyimpul Talian Ukhuwah 2

Saya pernah bekerja sementara di Pulau Pinang sewaktu menunggu keputusan STPM. Di sana saya mengenali beberapa orang kawan yang tinggal di Bagan Ajam, Butterworth. Saya ketika itu tinggal dengan kakak saya di Bagan Lebai Tahir yang bersebelahan dengan Bagan Ajam.

Kawan baik saya, Rosdi, anak jati Bagan Ajam bekerja dalam satu kilang elektronik yang sama di Jalan Raja Uda yang tidak begitu jauh dengan kami. Berkawan rapat dengan Rosdi membuatkan saya mengenali dan rapat dengan beberapa orang kawan-kawannya seperti Bri, Is, Nan dan beberapa nama lagi yang saya sudah lupa.

Setelah berhenti kerja di Pulau Pinang kami mula membawa haluan masing-masing dan berhijrah pula ke Kuala Lumpur pada tahun 2001 hanya sekali saya bertemu Rosdi iaitu sewaktu majlis perkahwinannya sekitar 1994. Selepas itu kami tidak bertemu lagi.

Kini sewaktu cuti semester akhir 2009 saya benar-benar berazam untuk mencari sahabat lama ini. Bersama sahabat saya ini banyak juga saya lakaran peristiwa manis sebagai anak muda yang kadang-kadang dapat menghiburkan hati saya ketika usia menginjak tua ini.

Sebenarnya saya sendiri tidak pasti tempat untuk saya mencari Rosdi. Dia sudah tidak lagi tinggal di Bagan Ajam kerana seluruh keluarganya berpindah ke Kuala Muda, Seberang Perai. Saya pernah ke sana ketika dia kahwin. Saya mulakan pencarian dari Kuala Muda. Pencarian ini dianggap satu misi yang mustahil kerana saya sudah tidak mengingati lagi kedudukan rumah bapanya. Seingat saya rumah bapanya merupakan satu petempatan baru dibina dengan kebanyakan rumah dibuat daripada kayu dengan bentuk yang sama.

Walau saya tahu Rosdi pasti tidak tinggal di Kuala Muda, saya tetap berharap saudara maranya pasti boleh membantu. Setelah saya bertanya beberapa orang di sana, saya dimaklumkan bahawa bapa Rosdi telah lama tiada dan sebelum meninggal dunia beliau menjual rumahnya dan tinggal dengan salah seorang anaknya. Tiada sesiapa pun yang mengenali Rosdi tetapi salah seorang saudaranya pernah menjadi guru di situ. Saya bergegas pula ke sekolah tersebut dan nasib saya baik kerana dibantu oleh kerani dan pekerja sekolah yang masih mengenali guru itu yang pernah mengajar di sekolah berkenaan.

Malangnya guru berkenaan tidak mempunyai nombor telefon Rosdi dan entah mengapa beliau kelihatan agak keberatan untuk membantu memberi nombor-nombor saudara Rosdi yang lain. Namun saya memahami kita tidak seharusnya dengan mudah memberi nombor telefon orang lain.

Dengan semangat yang semakin lemah saya membuat keputusan pulang terus ke Taiping dan menganggap usaha mencari ini gagal. Sewaktu bergerak keluar dari Kuala Muda saya memilih untuk pulang melalui Teluk Air Tawar, Bagan Lebai Tahir dan Bagan Ajam. Sudah lebih 10 tahun saya tidak melalui kawasan ini. Perkara yang penting sebenarnya saya ingin sekali menunjukkan tempat-tempat saya mempelajari hidup sebenar selepas dunia persekolahan. Melalui kawasan ini terasa saya menjadi muda kembali setelah melihat stesen minyak pertama saya bekerja, laluan masuk ke Bagan Lebai Tahir yang masih sama, serta Bagan Ajam. Bagan Ajam?? Itu tempat kami dahulu, saya terfikir ada baiknya saya singgah seketika mungkin dapat melihat Pantai Bersih yang menjadi tempat lepak kami dahulu atau mungkin ada yang masih mengenali.

Ternyata di situ saya bertemu dengan Nan dan keluarganya. Nan, seorang anak peniaga sate yang terkenal suatu ketika dahulu di Butterworth kini hidup di bawah kadar sederhana. Cerita tentang akan saya tulis kemudian nanti, mungkin banyak yang boleh dipelajari nanti tentang dirinya. Isterinya Ida membantu kami menghubungi sahabatnya yang dikatakan rapat dengan isteri Rosdi. Tanpa disangka seolah-olah semangat pencarian kami yang mati sebentar tadi kembali hidup setelah bibit harapan kembali menjelma. Tidak lama kemudian isteri Rosdi hubungi seterusnya membawa kami kepada pertemuan yang sangat bersejarah.