Followers

Tuesday, May 19, 2009

Menanti.....




Anugerah paling berharga bagi setiap pasangan suami isteri ialah kehadiran anak-anak dalam kehidupan mereka. Setiap kita sentiasa merasakan bahawa setiap perkahwinan pasti akan ada tangisan dan gelak ketawa anak-anak mengisi suasana di rumah. Inilah bayangan kesempurnaan alam perkahwinan.

Tetapi kita jarang menyedari hakikat bahawa ramai yang tidak berpeluang lagi atau langsung untuk memiliki 'hadiah' istimewa ini. Saya berada dalam situasi itu untuk tempoh yang agak lama. Mungkin pada tempoh awal perkahwinan keadaan begini agak tertekan namun masa berlalu membuat hati menjadi kuat dan reda dalam ketentuan Illahi.

Namanya manusia kita tidak akan lari daripada rasa resah tambahan sebagai insan yang sangat lemah ini bukanlah kuasa kita untuk membawa manusia lain lahir ke dunia ini. Hanya usaha yang mampu kita lakukan dan selebihnya kita serahkan kepada ehsan Allah.

Hikmah dan rahsia Allah tiada siapa mampu merungkai, melalui seorang sahabat, kami disyorkan mengamalkan pemakanan berasaskan nutrisi. Walaupun asalnya kami mengamalkan bagi meningkatkan tahap kesihatan yang semakin merosot semenjak usia semakin meningkat.

Kemudiannya hendak dijadikan cerita sekitar Mei 2008, kami menerima berita gembira bahawa kehadiran 'orang baru' berjaya dikesan. Gembira hati bukan kepalang! Setiap saat mengira minit, setiap minit mengira jam begitu dengan hari dan bulan. Namun segalanya ketentuan Illahi, apabila masuk bulan yang ke-3, Allah mengambil semula pemberianNya. Sedih juga berdepan situasi begini, namun kami semakin optimis kerana ini satu tanda harapan.

Berselang hanya 2 bulan kemudian, kami menerima berita gembira lagi. InsyaAllah penghujung Jun atau awal Julai bakal lahir insan yang kami nantikan hampir 11 tahun.

Buat sesiapa yang mengalami seperti kami, bersabarlah dan terus berusaha dan berdoa. Sebelum itu pastikan anda tidak lupa mendoakan kami!


Monday, May 4, 2009

Aku, Mask dan Marker....


Sabtu, 2 Mei, memang seperti yang dirancang. Kami semua bertemu di Adni yang jangkanya 7.30 pagi tetapi 8.30 pagi masih ada belum sampai. Inilah harinya saya akan kembali semula ke zaman silam. Cuma bezanya peralatan, medannya dan usia yang sangat berbeza dengan dulu tetapi semangat dan keberanian masih sama. Muda!

Saya melihat satu persatu wajah-wajah yang berkumpul di Adni pagi itu. Ada yang agak lama tidak berjumpa namun dalam memerhati bekas-bekas pelajar yang tercari-cari siapakah yang bakal menjadi pencabar utama. Ternyata agak sukar untuk saya menentukan siapa gerangannya kerana mereka kelihatan agak biasa dan tidak berbahaya.

Mungkin ada yang terdesak untuk kelihatan agak 'bahaya' dengan memakai subang namun melihat teknik tembakan yang meracau dan hampir 'membunuh' marshal, kebimbangan saya mula hilang.

Perkara yang menarik untuk dikongsi tentang ahli-ahli dalam kumpulan saya. Saya diletakkan bersama Mujahid (suami Nihlah), Haris Kamarul, Johan, Fattah dan Maryam Unal. Eh, betul ke Maryam!!?? Macam tak percaya Maryam turut serta. Boleh ke?

Saya terus bersangka baik mungkin ada yang pernah bermain paintball sebelum ini dalam kumpulan kami. Rupa-rupanya semua kami belum pernah bermain. Habis la kali ini!

Saya lihat Maryam sedikit gementar, bagi mengurangkan rasa gementar saya pun buatlah sedikit perancangan walaupun saya sendiri tidak pasti.

Apabila marshal memulakan permainan, saya lihat Maryam bukan seperti Maryam yang sebentar tadi. Tadinya yang agak pucat kini berbeza setelah memegang marker (senapang) dan mula menembak musuh dengan begitu sadis. Saya yang melihat dari belakang pun terasa ngeri melihat perlakuan itu. Rasanya dalam permainan pertama itu Maryam yang banyak melindungi saya. Saya amat bersyukur kerana berada di belakang Maryam, jika di depan mungkin saya juga menjadi mangsa tembakannya.

*Foto diambil dari Facebook Atiyah
(Terima kasih!)